PESANAN DARIPADA NYDP MPP

Posted by Unknown on 12:09 am with No comments
Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Ketika ini kita dikejutkan dengan musibah banjir besar yang melanda tanah air kita seperti di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.

Ini serba sedikit mengingatkan kita kepada peristiwa-peristiwa zaman nabi-nabi terdahulu seperti zaman Nabi Nuh AS. Akibat dari kedegilan manusia tidak mahu beriman kepada Allah SWT, Allah turunkan banjir besar yang meneggelamkan seluruh kaum Nabi Nuh AS melainkan pengikut-pengikutnya yang beriman.

Begitu juga diambil dari kisah pada zaman Nabi Luth AS. Allah turunkan gempa bumi yang dasyat kepada kaum Nabi Luth AS akibat daripada kerakusan manusia itu sendiri yang terus dan terus melakukan maksiat dan dosa.

Berdasarkan peristiwa-peristiwa ini, jelaslah bahawa bencana yang kita alami pada ketika ini bukanlah sekadar bencana sahaja. Tetapi adalah ujian dan peringatan dari Allah kepada kita semua akibat dari kerakusan tangan-tangan manusia melakukan kerosakan di muka bumi Allah itu sendiri.

Oleh itu, perbanyakkanlah munajat kepada Allah. Kembalilah kepada Allah. Kerana sesungguhnya Allah merindui hamba-hambaNya untuk terus bermunajat kepadaNya.

Teruskan berdoa untuk kesejahteraan saudara-saudara kita yang dilanda ujian ini. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar segala rintihan hamba-hambaNya. Bagi yang berkemampuan, hulurkanlah bantuan anda semampu mungkin. Hari ini mungkin hari mereka, esok lusa hanya Allah yang tahu.

Saya juga menasihatkan mahasiswa mahasiswi sekalian jagalah kesihatan diri anda semua. Kita sedia maklum bahawa pelajar ijazah akan memulakan peperiksaan akhir pada hari Isnin ini. Jadi, jagalah kesihatan dan keselamatan diri anda. Berusahalah selagi mampu. Dan paling penting mohonlah perlindungan dan pertolongan kepadaNya. Serahkan segala apa usaha kita kepadaNya dan jagalah niat kita belajar hanya kerana Allah dan bukan kerana peperiksaan semata-mata.

Akhir kata, selamat maju jaya saya ucapkan kepada pelajar-pelajar ijazah UiTM yang bakal menjalani peperiksaan akhir. Dan untuk pelajar-pelajar diploma, teruskan semangat anda untuk terus menimba ilmu. Sama-samalah kita jaga nama baik universiti kita.

"Universiti kita, rumah kita"

Sekian.

Mohd Shahiran bin Jamil
Naib Yang di-Pertua,
Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Pulau Pinang Sesi 2014/2015.