Maulidur Rasul

Posted by Unknown on 10:07 pm with 1 comment

Assalamualaikum W.B.T

Sempena tibanya maulidur rasul ini, marilah kita bersama-sama mendalami cinta kita terhadap Rasulullah S.A.W. Walaupun telah lama Rasulullah S.A.W meninggalkan kita, tetapi hangatnya cinta baginda terhadap umatnya tidak pernah padam. Tetapi bagaimana pula dengan cinta kita terhadapnya? Maka marilah kita kembali kepada apa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.

"wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhamad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) diantara kamu. Jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnah), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya" (surah an-Nisa' : ayat 59)

Namun bukanlah hanya apabila tibanya maulidur rasul kita bergegas melaksanakan sunnahnya dan berselawat ke atas baginda Rasulullah S.A.W, tetapi seharusnya kita beristiqamah dalam mengerjakan amalan ini setiap masa sebagai tanda kecintaan kita terhadap Rasulullah S.A.W.

Sabda Rasulullah S.A.W, yang bermaksud:" sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali" (hadis riwayat muslim)

Firman Allah S.W.T, yang bermaksud:" sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhamad S.A.W), Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan sepenuhnya" (surah al-Ahzab: ayat 56)

Akhir kalam, marilah kita berselawat kepada junjungan kita, Nabi Muhamad Rasulullah S.A.W bersempena sambutan maulidur rasul kali ini. Sebagai umat islam yang menyayangi Rasulullah S.A.W hendaklah sentiasa mengikuti setiap suruhan dan pesanannya, serta meninggalkan setiap larangan dan tegahannya. Laksanakanlah amalan yang diajarkan oleh baginda pada setiap masa, dan bukanlah sekali setiap tahun. Kita berharap amalan inilah yang akan menjadi bukti kukuhnya cinta dan sayangnya kita kepada Rasulullah S.A.W.
Kuatkan aqidah, Menghidupkan jemaah, Menyatukan ummah.
Salam Maulidur Rasul 1436H / 2015M

MUHAMAD SHUKRI SAAD
EXCO KEROHANIAN, KAUNSELING DAN KERJAYA,
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UITM PULAU PINANG SESI 2014/2015